Space and Border

..:: Selamat Datang Di 1001 Episode Of Lifes ::..

..:: Selamat Datang Di 1001 Episode Of Lifes ::..

Assalamualaikum Wr. Wb.

Assalamualaikum Wr. Wb.

MSP® Calendar

© Mikhail Syah Putra Official 27

Pelihara Maruah Dan Harga Diri


MARUAH dan harga diri mesti dijaga dalam kehidupan setiap Muslim. Tanpa maruah dan harga diri, seseorang itu akan mudah terjebak ke kancah maksiat atau terjerumus ke lembah kehinaan.
Justru, dalam kehidupan orang Melayu akhlaknya berteraskan kepada ajaran Islam. Melalui didikan akhlak seseorang itu akan dapat menjaga maruah dan harga dirinya. Selain itu, sifat malu menjadi separuh daripada iman yang membentengi akhlak dan maruah dirinya.
Dalam Islam maruah lebih menjurus kepada keimanan. Orang yang beriman akan sentiasa menjaga maruah dan harga dirinya. Oleh itu, elakkan daripada perbuatan tingkah laku yang rendah dan akhlak tercela. Setiap Muslim diingatkan supaya menghindari melakukan perbuatan dosa dan tingkah laku yang memalukan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Iaitu, mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh Tuhanmu Maha luas ampunan-Nya. Dia mengetahui tentang kamu, sejak Dia menjadikan kamu daripada tanah lalu ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (Surah An-Nam: 32) Sebagai umat Islam yang berakhlak mereka akan sentiasa menjaga maruah dan harga diri dengan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan akhlaknya. Allah memberi peringatan yang jelas melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta dipertanggungjawabkan.” (Surah Al’Isra’: 36) Peringatan dan ingatan ini hendaklah dijadikan panduan dalam kehidupan yang penuh cabaran ini. Kehidupan pada akhir zaman memang banyak dugaan kepada setiap orang. Hanya keimanan dan akhlak yang baik akan menjaga hati dan dirinya tidak terjebak kepada perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri.
Dalam menjaga maruah diri, jangan letak diri kita di tempat yang bukan tempatnya. Hindari daripada bercampur-gaul dengan orang yang berakhlak buruk dan orang yang tidak pernah bosan mencaci, memfitnah dan mengumpat orang lain.
Jadilah Muslim yang mempunyai akhlak tinggi dan terpuji, jangan menjadi hamba kepada perut dan hamba kepada nafsu sendiri. Miskin harta bukanlah suatu kecacatan atau kelemahan. Tetapi kecacatan dan kelemahan yang sebenarnya adalah kerana ketiadaan maruah diri. Seseorang itu akan dipuji kerana keelokan perangainya bukan kerana kecantikan dan kekayaannya.
Jagalah maruah dan harga diri daripada menjadi orang yang meminta-minta tanpa berusaha terlebih dulu. Seseorang yang sihat, mampu dan bertanggungjawab mencari rezeki untuk diri dan keluarganya. Jika membantu orang lain yang dalam kesusahan, jangan jadikan bantuan itu jalan untuk menghina serta merendahkan dirinya.
Orang yang beriman juga memiliki sifat terpuji memaafkan orang yang pernah menganiayai dirinya pada ketika dia dapat membalasnya. Amat terpuji orang yang berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada anda walaupun anda lebih kuat daripadanya untuk membalas kejahatannya.
Sentiasa berkata benar dan tegas sebagai tanda sifat terpuji walaupun dalam keadaan miskin dan papa. Mendidik diri dengan sifat mulia mestilah dimulai dalam diri sendiri. Seseorang yang mempunyai maruah dan harga diri akan sentiasa berpegang kepada kebenaran dalam hidupnya.
Sebahagian daripada kemuliaan diri, selalulah bermuka manis, bersopan santun dan berpakaian kemas dalam pergaulan. Sifat-sifat ini juga sebagai petanda orang yang bermaruah dan mempunyai harga diri. Elakkan daripada mengeluarkan perkataan kotor serta memfitnah orang lain.
Ingatlah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Orang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti satu bangunan, antara satu sama lain saling menguatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Seseorang yang beriman sentiasa menjaga maruah dan harga dirinya. Selain itu, sentiasa menjaga keluarga, agama, bangsa dan tanah airnya daripada dihina dan dijajah. Bimbingan dan didikan akidah, ibadah dan akhlak mestilah dilakukan sejak seseorang itu masih kecil dan berterusan hingga dewasa.
Keimanan dan akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam. Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Ini jelas daripada sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad) Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sebatang pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya (kefarduan), daun-daunnya (amalan sunat), maka buah atau batangnya itulah yang dikatakan akhlak.
Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama kerana akhlak melambangkan keindahan Islam. Daripada Abdullah ibn Umar r.a, katanya, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.
Tumpuan, pengajaran dan pembelajaran di sekolah juga memfokuskan kepada akhlak yang baik dan sempurna dapat ditanamkan dalam pemikiran, hati dan diri pelajar seterusnya menjauhkan mereka daripada akhlak keji yang menjatuhkan maruah dan harga diri.